Followers

Monday, April 4, 2011

Dugaan Dalam Keselesaan


Sujudlah kepada Tuhanmu tanda syukur... "Ya Allah jadikanlah kami orang yang bersyukur jauhkanlah kami daripada menjadi orang yang kufur..."


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

       Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Muhammad s.a.w. Allah Pencipta sekalian makhluk, Maha Agung yang tiada suatu apapun yang sebanding denganNya. Dialah Maha hebat, Tuhan menguasai, mentadbir seluruh alam tanpa memerlukan bantuan sesiapa pun. Itulah Allah, tuhan ana dan antum...



Sistem solar, susunan dan aturan Allah s.a.w

      Seluruh alam, setiap makhluknya bermula sebesar-besar gugusan bintang-bintang di langit sehinggalah makhluk sekecil zarah semuanya tunduk dan patuh pada ketetapanNya (sunnatullah). Hebat Allah mengatur, mentadbir makhluk-makhlukNya di angkasa lepas, planet-planet berputar di atas paksinya dan beredar melalui orbitnya langsung mengelilingi matahari. 


          Di sini ana bawakan kepada antum petikan ayat daripada Al-Quran mengenai kehebatan pentadbiran Allah s.w.t



 Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir) ialah malam; Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam gelap-gelita. ( ayat 37 )


Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui ( ayat 38 )

Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya - (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering. ( ayat 39 )

(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing (orbit). (ayat 40)


       Indah susunan dan aturanNya itu menyebabkan dunia mengalami fenomena siang dan malam. Hebat ketetapanNya sehinggakan semuanya kekal di posisi masing-masing dan tidak berlanggar antara satu sama lain. Hebatnya Allah segala makhlukNya hidup di bawah kekuasaanNya, tiada apapun yang terlepas daripada pengetahuanNya hatta gugurnya sehelai daun dalam belantara, semuanya di dalam aturan dan kuasa Allah.

       Renungkanlah sahabat sekalian, terkadang kita merasakan kita sangat hebat seolah-olah kitalah segala-galanya. Kita punyai harta yang banyak, punyai aset berjuta, punyai pengaruh pangkat dan kekuasaan, punyai rupa paras tampan, kacak, cantik, jelita dan segala apa yang kita inginkan semuanya kita dapat...




Mengejar harta kekayaan untuk hidup selesa di dunia yang sementara... Matlamat hidup yang singkat dan merugikan



TERLALU SELESA...

         Sedarkah kita siapakah Tuan punya kepada segala apa yang kita miliki, sedarkah kita? Sedarkah kita bahawa setiap yang ada di batang tubuh ini dan setiap apa yang kita miliki sekarang adalah sebuah pinjaman daripada Allah s.w.t? Sedarkah kita. 


        Kita lupa. Lupa kerana terlalu dan terlampau selesa. "Selesa itu adalah seberat-berat dugaan daripada Allah" memetik daripada kata-kata sahabat ana yang ana selalu kasihi. Benar, keselesaan itu adalah sebahagian ujian daripada Allah s.w.t. Adakah dengan keadaan yang terlalu selesa ini kita akan sentiasa mengingati Allah? Jika mampu pun berapa kerat sahaja yang mampu. 

        Antara diuji dengan kesakitan atau dengan keselesaan, ramai diantara sufi dan juga sebahagian ulama' memilih untuk diuji dengan kesakitan. Sehingga ada diantara sufi memohon ampun kepada Allah kerana bimbang dengan keselesaan, bimbang semakin selesa semakin jauh dengan Allah. Bimbang dengan terlalu selesa semakin malas beribadat. Bimbang selesa itu adalah bentuk istidraj kepada mereka. Allahuakbar.


Rasulullah s.a.w bersabda: "Cinta kepada Dunia punca kepada segala kejahatan"


         Dalam sirah Rasulullah sendiri, para kafir dan musyrikin Makkah pernah menawarkan kepada Baginda dengar tawaran-tawaran yang hebat seperti pangkat, kekuasaan, pengaruh, wanita, harta yang banyak dan lain-lain lagi supaya Baginda s.a.w meninggalkan dakwah. Rasulullah s.a.w dengan penuh hikmah menolak segala tawaran itu. 

      Pernah juga malaikat menawarkan pertolongan untuk menghempap gunung ke atas penduduk Thaif kerana mereka menyakiti Nabi sehingga Nabi bermandi darah. Rasulullah menolak tawaran itu, kerana yakin  suatu hari nanti penduduk di situ pasti akan menerima Islam. Hasilnya, hari ini bumi Thaif dipenuhi dengan umat Islam. Nabi berusaha, tidak memilih jalan singkat, tidak juga memilih jalan selesa. Berbanding kita yang lemah ini, jika diberi pilihan tentu-tentu sahaja kita memilih agar gunung itu dihempap kepada penduduk Thaif, Nabi tidak begitu.

           Semakin sukar ujian yang diterimanya, semakin tinggi Allah mengangkat darjatnya, dan sehebat-sehebat ujian adalah ujian Allah kepada kekasihNya, Rasulullah s.a.w. Hebat ujian yang Rasulullah terima sehinggakan tiada siapa pun orang biasa seperti kita bisa menanggungnya.

           'Aishah r.a pernah bertanya kepada Rasulullah mengenai kaki Baginda yang bengkak-bengkak kerana banyak solat pada waktu malam, walhal Baginda sudah dijanjikan dengan syurga. Nabi tersenyum dan menjawabnya dengan penuh makna, "Adakah salah untuk aku menjadi hamba yang bersyukur?" subhanallah... 

          Berbanding dengan kita, andai kata kita dijanjikan dengan pulangan wang berjuta-juta untuk satu projek, confirm dapat asalkan kita terima saja projek itu. Agaknya kita bersungguh tak berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan projek tersebut, atau melakukannya sekadar melepaskan batuk di tangga dan tak bersungguh kerana mata sudah dikaburi dengan janji pulangan yang lumayan. Nabi tidak seperti kita, tidak memilih jalan selesa untuk mendapatkan hasil yang baik...


Perjalanan ini memang panjang dan sukar... Bersabarlah para pejuang sekalian, penghujungnya syurga buat kalian... insya Allah.


Susah dulu, senang kemudian...

         Pepatah melayu juga ada menyebut, "Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, susah-susah dahulu, senang-senang kemudian". Memang adatnya begitu di dunia ini, kita perlu bersusah dahulu sebelum kita menikmati kesenangan. Lahirnya kita ke dunia ini dalam penuh kesusahan, susah untuk berbicara, sukar bergerak dan berjalan. Kita mengambil masa berbulan-bulan bahkan bertahun untuk belajar bercakap, belajar bertatih sehingga mampu berjalan dengan sempurna. 

           Bersedialah wahai pejuang Islam sekalian, bersedia untuk berada dalam keadaan susah dan senang dan dalam apa jua keadaan sekalipun. Susah dan senang dua-duanya adalah bentuk ujian daripada Allah kepada kita semua. 


              Untuk menghadapi mehnah atau cabaran dan tribulasi dalam perjuangan, para pejuang dan pencinta Islam tidak boleh tidak (mesti) mengadakan hubungan yang akrab dengan Allah s.w.t. 


               Bercintalah denganNya, semoga dengan tulus cinta kita terhadapNya lautan api sekalipun kita sanggup meredahinya, biarpun gunung setinggi langit sanggup kita daki demi membuktikan tulus suci cinta kita terhadapNya. Hanya Allah sajalah sumber kekuatan kita semua untuk terus berjuan di jalan ini...

2 comments:

  1. terima kasih nasri..
    bersyukur Allah campakkan ilham sebegini dalam benakmu untuk tatapan insan lain.

    dalam,,mendalam.......

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah,
    hadza min fadhli rabbi ya ukhti...
    kalo ade manfaat amik laa, kalo mudharat tinggalkan... y baik dr DIA, y buruk je dr Ana...
    Jazakillah sbb sudi baca... :)

    ReplyDelete