Followers

Tuesday, June 28, 2011

Ketika Ana Bercerita

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani



Indah sungguh ciptaan Allah, segala tekanan akan hilang apabila kita merenung keindahan dan kehebatan ciptaan Allah... Ambillah sedikit masa untuk berzikir dan berfikir.

    Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan kepada Allah s.w.t, tuhan yang memiliki langit dan bumi, pentadbir seluruh alam ini, yang menguasai segala makhluk di langit dan di bumi. Bersyukur juga kerana limpah kurnia dan hidayahNya, hari ini kita masih lagi merasai nikmat yang terbesar dan terpenting, iaitu; nikmat Iman dan Islam. 

     Pertama sekali, ana ucapkan jutaan terima kasih, jazakumullah khairan kathira kepada para pembaca dan followers kerana sudi menatap dan bertandang ke blog usang dan serba kekurangan ini, semoga antum mendapat manfaat daripada blog yang biasa-biasa ini.

    Lama sudah rasanya tidak menulis. Ana kira hampir sebulan. Terasa kekok pun ada. Ketar jari jemari ini menari di atas papan kekunci. Mungkin kerana sudah lama sangat tidak menaip. Walaubagaimanapun memetik kata-kata daripada salah seorang sahabat ana, katanya "Kalau sudah minat, insya Allah semuanya akan jadi mudah". Jadi nak ceritanya, kita ini kalau buat sesuatu berdasarkan minat, insya Allah memang menjadi (berhasil)... Terselit loghat Pahang di situ.

       Tiga minggu sudah berlalu, kini ana berada di Bumi UIA Nilai meneruskan kehidupan sebagai seorang mahasiswa Islam di tahun kedua di Pusat Asasi ini. Tiga minggu yang sarat dengan pelbagai pengalaman baru, suka duka, pahit manis semuanya ada. Apapun ana sangat bersyukur kepada Allah kerana Dia lah yang merancang dan mengatur hari-hari yang sangat bermakna buat ana, dan kerana Dia lah yang memberikan kekuatan kepada ana untuk mengharungi hari-hari yang sangat indah dan adakalnya mencabar. 'Ala kulli haal, sebagai hamba Allah kita memang seharusnya bersyukur kerana jika tidak kerana rahmat Allah, sudah tentu kita tidak dapat menikmati hidup di dunia ini, tidakkah begitu?

       Kata pepatah melayu, "Langit tak selalu cerah, awan tak selalunya mendung'. Hari-hari yang kita lalui tidak selalunya cerah, adakalanya hujan, ada masa pula ribut, kadang-kadang mendung, adakalanya pula panas terik. Begitu jualah dengan kehidupan ini, adakalanya hari-hari yang kita lalui itu ceria, adakalnya pula sedih, kadang-kadang tertekan dan bermasalah, ada masa bahagia. Itulah indahnya kehidupan, perasaan kita silih berganti sebagaimana cuaca yang bersilih ganti.


 Ta'aruf Week 2011/2012: Pengalaman dan kenangan terbaikk...


Minggu Ta'aruf di CFS IIUM


        "Nasri, kamu nak isi borang jadi komiti Ta'aruf Week?" Tanya senior ana. Ana membisu, sambil mengerutkan kening kehairanan. "Apalah agaknya yang abang ni mimpi? Tiba-tiba saja tanya pasal tuh." rungut hati ana. Tambah pula, soalan itu ditanya pada masa yang tidak sesuai, seingat ana pada lewat malam dan tarikh akhir untuk penghantaran borang itu ialah pada hari esok. "Hmm, isi je lah, bukan confirm dapat pun" bisik ana. Ana pun isi lah borang tersebut...


Beberapa ketika selepas itu (serius tak ingat berapa lama dah)


       Usai solat Asar berjemaah di Masjid Putra Nilai, telefon bimbit ana berdering. "Siapalah yang menelefon petang-petang macam nie? Tak pernah pula petang-petang macam ini ada orang menelefon ana, maklumlah orang tak femes laa katakan..." Panjang sungguh rungutan hati ana petang itu. Siapa sangka, rupanya orang yang menelefon itu adalah wakil pihak STAD (Student Activity Department) menjemput ana untuk menghadiri temuduga untuk high comm. Ta'aruf Week.


      "Erk... Betul ke nie kak? Tanya ana untuk dapatkan kepastian, "Akak ada main-main ke dik? Balas wakil pihak STAD itu dalam nada yang bersahaja. "Haissshh, rasa-rasanya hari itu isi borang lebih-lebih kurang saja. Macam manalah boleh terpilih..." Bisik ana kehairanan. Memang tak sangka langsung ana akan terpilih, sudahnya, ana pun redha sajalah. Ana dimaklumkan oleh kakak itu, daripada Pusat Asasi UIA Nilai hanya sebelas orang sahaja lelaki dan perempuan yang terpilih untuk ditemuduga, selebihnya hampir 200 orang pelajar daripada Nilai terpilih menjadi komiti untuk Ta'aruf Week yang akan diadakan di Pusat Asasi UIA Petaling Jaya.


Hari temuduga...


       Awal-awal pagi lagi kami sudah bangun, solat subuh berjemaah bersama-sama di masjid. Lelaki yang layak ditemuduga ialah, akh Mujahid, akh Asyraf Saleh, akh Qawi dan ana sendiri. Ana termenung sendirian membayangkan macam manalah keadaanya nanti. "Temuduga??? cuak seyh...". Sahabat lain cuba memujuk ana, kata mereka masa inilah kita nak berlatih jadi orang yang lebih berkeyakinan dan dalam pada masa yang sama boleh biasakan diri dengan temuduga. Tambah-tambah pula zaman sekarang ini kalau nak dapatkan kerja mesti melalui temuduga. 


Jawatan bukanlah dipinta, tetapi sekiranya kita dilantik ianya adalah satu amanah dan tanggungjawab. Selamat temuduga, buat yang tebaik dan niatkan kerana Allah. Allah jua sebaik perancang dan Maha pemberi rezeki...


       Ana berfikir sejenak... Betul juga apa yang sahabat ana katakan itu. Kalau bab temuduga ini, ana tak adalah kekok sangat dan bukanlah biasa sangat masuk temuduga, cuma ada lah dalam beberapa kali. Cuma kali ini ada kelainan sedikit, temuduga dibuat dalam bahasa Inggeris. Seingat ana kalau pengalaman temuduga dalam bahasa Inggeris sebelum ini belum pernah lagi atau pernah sekali dua, mungkin ana dah lupa. Sebelum ini, selepas keputusan SPM keluar ada juga pergi temuduga, bukan bahasa Inggeris, tapi bahasa Arab. Memang lucu kalau ana cuba ingat kembali temuduga tersebut. Tapi tak mengapa yang penting pengalaman itu yang berharga, tak begitu? 


           Kembali kepada kisah temuduga tadi. Sebaik sahaja mengetahui temuduga akan dibuat dalam bahasa Inggeris, kami terus berlatih. Bukanlah mengharap nak dapatkan jawatan sangat, cuma ana teringat kata-kata guru ana di sekolah dulu mengenai temuduga jawatan di sekolah. "Yang pertama, kita tidak meminta kepada jawatan, sekiranya kita diberi amanah maka laksanakan sebaiknya. Yang kedua, dah dapat temuduga buat yang terbaik, untuk kebaikan kita dan yang penting niat kerana Allah" Kata-katanya itu memang sangat terkesan kepada ana. Pagi itu kami besiap-siap, dress code jangan lupa ya. Siap bertali leher, berkemeja, berseluar hitam dan berkasut kulit, berkilat pula tu.


Melangkah ke venue temuduga


Roti Canai di Bumi BerNilai, RM1.00 patutkah? Mungkin mengandungi minyak petrol kot...

           Sebelum ke venue temuduga, kami sempat bersarapan di salah sebuah restoran terkenal di Bumi BerNilai, bersebelahan dengan kedai fotostat Warisan. Di kaunter... Roti canai dan teh O' panas RM2.00. Makanan di sini amat MURAH dan sangat sesuai untuk student yang loaded. "Aik, rasanya kalau kedai lain dekat-dekat sini ada saja harganya RM1.60 untuk sekeping roti canai dan teh'O. Kenapa kedai ini lain pula harganya?"... Alasannya minyak naik, barang makanan pun naik la... 


           Mujurlah ana ini bukan pakar Ekonomi dan baik hati, kalau tidak mahu saja ana syarah pasal ekonomi depan pak cik tersebut (Dalam hati ana bertekad: Nasri lepas ini kena belajar ekonomi pula, nanti tak adalah pelajar Islam kena tipu hidup-hidup...). "Ok la, nak buat roti canai memang kena pakai minyak petrol..." Sangka baik hati ana, jiwa muda meledak sedikit. Alhamdulillah, untunglah ana dapat scholar, orang Kelantan kata mujur buleh nyawo lagi. Itupun katanya nak ditarik untuk pelajar lepasan SPM tahun depan yang akan ke matrikulasi dan pusat asasi, daripada biasiswa bertukar kepada pinjaman. Doa ana, harap-harap ada lagi scholar untuk adik-adik tahun depan. Kalau tak ada biasiswa nak gagau (loghat Melaka: cari) manalah duit untuk menyara diri di Bumi yang BerNilai ini.


            Maaf jauh ana melencong, berbalik kepada kisah temuduga tadi. Semangat untuk pergi ke temuduga tiba-tiba saja melonjak, mungkin disebabkan kes roti canai tadi kot. Bagus juga, mengantuk pagi tadi pun hilang, otak pun jadi ligat pagi-pagi ini, maklum sajalah di sini, pagi-pagi saja pelajar dah jadi macam pakar perancangan ekonomi. Merancang perbelajaan duit di tempat yang serba-serbi berNILAI. Cukup sekadar di situ. Tiba di tempat temuduga, masing-masing menunggu giliran dengan penuh sabar dan mungkin juga sedikit nervous untuk ditemuduga. Seorang demi seorang masuk ke bilik temuduga. Panelnya Bro. Izdihar, Bro. Hisyam dan seorang lagi ana dah lupa apa namanya.
             
           Tiba giliran ana. "Raja Nurnasri, please come in..." Panggil salah seorang staff di situ. Berdebar. Perlahan-lahan ana menyusun langkah masuk ke bilik temuduga. Ana disambut degan senyuman daripada panel-panel temuduga. Alhamdulillah, temuduga berjalan dengan lancar, walaupun bahasa Inggeris ana tak berapa lancar. Ana kira, ana berpuas hati sebab pengalaman itu adalah yang utama. Soal fluent atau tidak bukanlah soal yang utama. Walaubagaimanapun penguasaan bahasa sememangnya perlu dipertingkatkan. tambah pula, junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w sendiri menggalakkan kita supaya menguasai banyak bahasa. Pesan Rasulullah itu menjadi motivasi kepada ana untuk terus menguasai banyak bahasa.


Akan bersambung...

Sahabat-sahabiah yang ana kasihi sekalian...


Sekadar di sini sahajalah kisah temuduga ana, insya Allah akan di sambung nanti. Insya Allah lebih banyak lagi perkongsian cerita daripada ana. Ini adalah fasa pertama Ta'aruf Week, insya Allah akan ada sambungan untuk fasa yang seterusnya... Teruskan membaca, semoga antum dapat mengambil manfaat. Segala yang kurang ana pohonkan kemaafan. Jazakumullah khairan kathira...



No comments:

Post a Comment