Followers

Saturday, May 15, 2010

Dugaan dan Ujian, itu daripada Allah


Allahu Robbi

Firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran:
16:19
Dan Allah mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu zahirkan
Surah An Nahl; ayat 19

   Setiap apa yang kita zahirkan dan setiap apa yang kita sembunyikan semuanya dalam pengetahuan Allah. Jadi, berhati-hatilah dalam setiap perbuatan zahir mahupun batin, luaran mahupun dalaman, Allah mengetahui segalanya tanpa batasan. Sedikit muqaddimah daripada ana, maklumlah setelah sekian lama bisu tanpa suara, kelu tanpa bicara. Alhamdulillah, hari ini, detik ini, saat ini Allah masih lagi mengurniakan kekuatan kepada ana, tanpa KudratNya dan IradatNya, ana pasti, tiada lagi kekuatan dan ketabahan yang tersisa di tubuh ini...


Bisu tanpa bicara,
setelah sekian lama hidup, berjalan di atas hamparan bumi ciptaan Allah yang maha luas ini sesekali ujian mendatangi diri, bukan sekali, tapi sebenarnya berkali-kali, sehinggalah kita mati... Ujian menduga kita tentang sejauh manakah keimanan kita terhadapNya, tuhan yang Maha Kaya.

67:2
Mafhumnya: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);
Surah Al Mulk; ayat 2

Begitulah... Suka untuk ana menyebutkan lagi beberapa ayat Al Quran mengenai ujian daripada Allah kepada hambaNya...

29:2
29:3
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (ayat 2) Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. (ayat 3)
Surah Al Ankabut; ayat 2-3
Ujian yang Allah sajikan buat hamba-hambaNya, tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menguji sejauh mana keimanan, ketaqwaan, keyakinan, pergantungan kita terhadap Allah. Seharusnya kita fahami dan yakini bahawa, setiap dugaan dan ujian itu datangnya daripada Allah, dan Dia jualah yang menamatkan ujian atau dugaan tersebut dan seterusnya menilai sejauh manakah prestasi kita semasa kita menghadapi ujian tersebut. Perumpamaannya yang ana boleh gambarkan kepada sahabat sekalian seperti, seorang pelajar yang belajar dan mengulangkaji demi menempuhi peperiksaan. Tanpa persedian yang mencukupi, sudah pasti prestasi pelajar tersebut dalam peperiksaan merudum dan tidak memuaskan. Begitu jualah manusia, Allah memberikan masa secukupnya dan seadilnya kepada semua manusia. Semua manusia mempunyai 24 jam dalam sehari, 1440 minit dalam sehari, dan 86 400 saat dalam sehari kepada semua manusia tidak lebih dan tidak kurang. Masa yang terlampau banyak itulah yang seharusnya kita gunakan untuk membuat sebarang persiapan dan persedian demi menempuhi sebarang kemungkinan dan ujian 'mengejut'. Ujian Allah tidak bertarikh, tidak tercatat bila, tapi yang pasti ia pasti berlaku dan kita mesti bersedia menempuhinya. Itulah dinamakan ujian, dan sekiranya hamba Allah itu dapat melaluinya dengan sabar, tenang, dan penuh pengharapan kepada RabbNya, Allah rabbul jalil, maka Allah akan menaikkan darjat dirinya kepada beberapa darjat.

Begitu jualah yang berlaku kepada junjungan kita Rasulullah s.a.w ujian demi ujian dan dugaan yang bertali arus dalam menyebarkan dan menebarkan cahaya Islam ke seluruh alam. Perjuangan baginda tidak mudah, bahkan penuh dengan ranjau yang kita sendiri tidak dapat bayangkan. Walau beribu ranjau dan onak terpaksa Rasullah dan para sahabat tempuhi, mereka tetap sabar, bahkan mereka bersyukur. Kerana ujian itu adalah tanda ingatan Allah kepada hambanya dan daripada ujian itulah semakin menebalnya iman dan yakin mereka kepada Allah. Kerana sesungguhnya mereka faham, bahawasanya syurga itu teramat mahal untuk dimiliki, dan apa yang lebih penting daripada itu, Cinta Allah atau Redha Allah itulah mengatasi segalanya. Itulah yang sebenarnya mereka harapkan, Cinta daripada Allah. Adat manusia, apabila mahu memilih pasangan untuk sehidup semati, pasti dia akan menguji sejauh mana kesetian pasangannya terhadapnya. Allah menguji manusia, untuk melihat kepatuhan dan ketaatan manusia kepadaNya. Usah gusar dan berputus asa apabila ditimpa musibah atau kekecewaan. Mungkin sebelum ini kita agak liat nak menadah tangan kepada Allah, tapi apabila ditimpa musibah secara kita tak sedari, seluruh anggota badan terasa 'ringan' beribadah dan berdoa kepada Allah agar diringankan dan dihilangkan musibah. Itulah sifat manusia. Bila susah cari tuhan. Tetapi, sekurang-kurangnya kita bersyukur atas apa yang berlaku, kerana pada detik tersebut kita lebih mengingati Allah daripada perkara-perkara yang lain. Pohonlah keampunan kepadaNya dan doa kepadaNya, kerana setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya yang tersendiri. Dalam sebuah hadith qudsi, Rasulullah s.a.w bersabda:

Allah telah berfirman ......"Apabila dia mendekati-Ku sejengkal, maka Aku akan mendekatinya sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, maka Aku akan mendekatinya sedepa. Dan apabila dia datang kepada-Ku dalam keadaan berjalan, maka Aku akan datang kepadanya dengan berlari."

Begitulah kasihnya Allah kepada hambaNya. Dekatilah Dia, fahamilah Dia. Sesungguhnya Dia tidak akan meninggalkan hamba-hambaNya yang beriman, bertaqwa dan bersabar keseorangan. Percayalah bahawa Dia sentiasa bersama. Kata ulama' tasawwuf, dekatnya Allah dengan hambaNya yang beriman seumpama urat-urat di leher, dekat, rapat bahkan lebih dekat daripada itu.

No comments:

Post a Comment