Followers

Monday, May 16, 2011

Berteduh Sebentar Di Bawah Pohon Itu


Duduk berehat sebentar, berteduh daripada sinar terik mentari...

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

    Alhamdulillah, syukur kepada Allah, tuhan yang menciptakan seluruh alam ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.

Jauhnya berjalan...

     "Hhuuuuhhh..." Ana menghela nafas panjang. Penat berjalan masih belum lagi hilang. Singgah sebentar di sebuah pohon yang rendang mencari teduhan daripada sinar terik mentari. Berehat sebentar mengumpul tenaga untuk meneruskan perjalanan yang masih lagi jauh. Penatnya berjalan jauh berbatu-berbatu demi untuk tiba ke destinasi, lelahnya menjadi seorang musafir berkelana di muka bumi Allah mengharungi pelbagai rintangan dan masalah.
     
      Penat berjalan. Ana menyandarkan tubuh ini ke batang pokok tersebut sambil angin bertiup lembut berderu mengeringkan keringat yang mengalir di pipi ini. Rasa nyaman menyelimuti tubuh ini selesa menikmati hembusan angin tadi. Di saat itu, entah mengapa ana jadi teringat kata-kata salah seorang murabbi ana di sekolah dulu. Terngiang-ngiang di telinga ana. Semakin lama semakin jelas. 


Dunia, tempat bersuka ria bagi mereka yang tiada matlamat hidup...


Kata murabbi ana; 


      "Ingatlah wahai adikku, sesungguhnya dunia ini adalah jambatan ke Akhirat. Kita singgah sebentar di muka bumi ini hanya sebagai tempat persinggahan di tengah perjalanan. Dunia ini adalah tempat untuk kita mengumpul bekalan dan persedian secukupnya untuk menuju ke Negeri Akhirat. Apabila sampai saatnya (kematian), kita akan meneruskan semula perjalanan ini... 

       Ketika kata-kata tersebut meluncur keluar daripada mulut  murabbi ana, ana jadi tertunduk. Ana pun tak faham mengapa, tapi yang pasti pergerakan itu bukanlah dibuat-buat, secara tiba-tiba, automatik begitu. Hati pun terasa sayu... Tiba-tiba angin pun bertiup lagi, menyedarkan ana daripada lamunan.


Dunia umpama jambatan ke akhirat 
(sekadar gambar hiasan, tiada kena mengena dengan  keadaan realiti sebenar)


Sahabat-sahabiah sekalian,

      Begitulah analogi kehidupan. Dari alam ruuh kita berpindah ke alam rahim ibu, daripada alam rahim ibu, dilahirkan pula kita ke Dunia ini. Daripada Dunia, apabila tiba saatnya kematian, kita akan berpindah pula ke alam Barzakh, dari Alam Barzakh menuju pula ke Negeri Akhirat, dan di sana pula ada dua destinasi, sama ada ke Syurga atau ke Neraka... Begitulah perjalanan kita semua, pejalanan yang mesti dilalui oleh setiap manusia.


23:14


Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.
Surah Al Mukminun; 23; ayat 14


Berjalan di atas Dunia ini...


Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami (para Malaikat)
 sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".
Surah Al Baqarah: Ayat 30

      Bicara mengenai kehidupan pula, sebagaimana yang kita sedia tahu dan faham, tugas manusia itu adalah sebagai khalifah di muka bumi Allah. Antaranya, manusia menjadi pemakmur muka bumi, penegak Agama Allah, mentadbir dan menguruskan urusan dunia selari dengan kehendak Allah dengan berpandukan Al Quran dan Sunnah, dan hidup beramal soleh untuk berjaya di dunia dan di akhirat.

Beza 'hidup untuk mati' dan 'hidup untuk tidak mati'

      Ana suka memetik kata-kata imam Hassan Al-Banna, "Kita hidup untuk mati...". Maksudnya, kita hidup di muka bumi Allah dengan menjalankan apa yang Allah telah perintahkan dan meninggalkan apa yang Allah larang. Hidup di Dunia dalam redha Allah untuk hidup bahagia di Akhirat kelak




          Mudah fahamnya, hidup di Dunia ini umpama bekerja di sebuah ladang, tempat untuk kita menanam tanaman  yang baik, mengeluarkan hasil yang baik apabila dituai nanti (Beramal dengan amalan yang baik). Manakala, akhirat pula umpama tempat kita menuai segala amalan-amalan yang telah kita lakukan di Dunia.


        Dunia bukanlah tempat untuk kita menetap buat selama-lamanya. Dunia pun akan musnah dan mati. Itulah dia 'hidup untuk mati' kita hidup di muka bumi ini untuk hidup bahagia selapas daripada mati di Dunia, iaitu hidup buat selamanya di Syurga nanti, bukan 'hidup untuk tidak mati-mati'. 


Hidup untuk tidak mati...


Discovery Channel, ambil 'ibrah daripada apa yang kita lihat, jika baik, ambillah, manfaatkannya. Jika buruk jadikan ianya sebagai sempadan dan pengajaran

      Pada suatu hari yang agak lapang, ana ada menonton sebuah program televisyen di saluran Discovery (Dicovery channel, saluran 551). Tajuk rancangan tersebut ana sudah lupa. Tapi yang pasti rancangan tersebut mengenai usaha-usaha yang dijalankan oleh sekumpulan saintis yang hebat bertujuan untuk memanjangkan umur manusia. Pada mulanya ana tak berminat nak teruskan menonton, sebab kita sebagai orang Islam sudah paham dan yakin bahawa ajal dan maut itu adalah suatu kepastian daripada Allah s.w.t. 


      Kita tak akan dapat elakkan dan melewatkan kematian apabila tiba saatnya walaupun sesaat. "Mengarut betul rancangan nie..." rungut ana. Tapi yang menarik dan menghairankan ana ialah mereka bersungguh-sungguh mencari jalan untuk terus kekal hidup untuk tidak mati. Pelbagai pil dicipta kononnya untuk memanjangkan usia, diet makanan yang bervitamin dan berkhasiat dihidangkan untuk 'memanjangkan' umur kononnya dan macam-macam lagi pelan-pelan yang mengarut dicipta untuk mereka terus kekal hidup dan tidak mati.


Hidup dipenuhi dengan pil-pil untuk terus kekal hidup, pil panjangkan usia? 
Mengarut sungguh!
        
         Sebagai seorang muslim kita yakin dan percaya bahawa kematian itu adalah kepastian dan tiada keraguan mengenainya. Setiap yang hidup itu pasti akan mati. Sahabat sekalian, renungilah firman Allah ini;



Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.



Cinta kepada Dunia punca kepada segala kesalahan (kejahatan)...


       Bagi orang yang bijaksana dan yakin dengan hukum Allah, Dunia bukanlah tempat bagi mereka bersuka ria, bercanda mesra dan bermain-main dengan fantasi, tetapi mereka mengambil Dunia sekadar perlu sahaja dan berusaha di Dunia untuk mencapai kebahagian dan kenikmatan yang tidak putus-putus di Akhirat kelak. Manfaatkan apa yang ada pada Dunia untuk hidup bahagia di Akhirat nanti. Sahabat sekalian, renungilah petikan kata-kata ini;

"Bekerjalah di Dunia ini ibarat kamu akan hidup buat 1000 tahun lagi, dan beramal lah untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati pada esok hari"

Dunia ini tempat kita beramal dan bersiap sedia untuk meneruskan kehidupan kita di Akhirat, 
sekiranya cukup bekalan kita, 
maka senanglah nanti kita di sana. 
Andai tidak bersedia, 
tiada pula bekalan untuk ke sana,
maka nantikanlah kehidupan yang sengsara di akhirat nanti...
Biar kita menderita di Dunia, 
Biar kita bersusah-susah di Dunia,
Asalkan hidup di Akhirat nanti kita bahagia
Sungguh Allah tidak pernah memungkiri janji,
Bahawa setiap kebaikan akan dibalas dengan ganjaran,
setiap kejahatan pula dibalas dengan siksaan.
Bijaksanalah dalam menelusuri hidup di Dunia,
agar kita bahagia di Akhirat sana...

2 comments:

  1. kata2 rasuluallah pd salman al-farisi,
    cukuplah utk hidup di dunia ini bekalan sebagai seorang pengembara.

    ReplyDelete
  2. perkongsian yg menarik n_n
    syukran
    (salam ziarah dr jordan)

    ReplyDelete