Followers

Friday, February 18, 2011

Bila Ana Mengkritik



Subhanallah, Maha Suci Engkau sesungguhnya Engkau telah menciptakan hari yang indah buat kami...


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

   Hari-hari yang berlalu sepanjang sebulan dua ini nampaknya telah meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada diri ini. Banyak peristiwa-peristiwa yang penting dan bermakna yang terjadi kepada ana sepanjang tempoh tersebut. Syukur setinggi-tingginya ana rafakkan kepada Allah s.w.t kerana telah menganugerahkan kepada ana hari-hari tersebut.

Semakin Matang

   Tidak berlalu hari-hari dalam hidup kita ini, melainkan setiap hari ada sahaja pengalaman-pengalaman baru yang kita tempuhi.  Tak kiralah sama ada pengalaman yang menyeronokkan ataupun yang menyakitkan, kesemuanya menjadikan kita lebih matang dan bersedia untuk menghadapi hari-hari yang mendatang...


   Setiap hari ada saja pengalaman baru ataupun perkara yang baru untuk kita rasai dan terokai. Percayalah kata ana ini, banyak sangat perkara yang belum kita terokai dalam hidup ini. Walaupun para saintis dan para pereka sudah mengkaji banyak perkara dan benda contohnya mengkaji sel-sel hidupan, atom yang terdapat dalam bahan, mencipta kereta, kapal terbang, kapal di lautan dan lain-lain lagi, walaupun begitu sebenarnya masih terdapat banyak lagi perkara yang masih belum kita terokai dan pelajari. Mustahil jika ada yang mengatakan bahawa sudah tiada lagi perkara untuk dikaji dan dipelajari, sedangkan ilmu Allah itu maha luas terbentang tanpa sempadan. Firman Allah dalam Al Quran Al Karim:


"Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata."
Surah Al An'am; Ayat 59


Carilah ilmu, tuntutlah ilmu, kerana itulah kunci kejayaan mukmin.


Mukmin cemerlang mempunyai sifat yang innovatif...

Sifat Orang yang Rugi

   Jangan ingat orang yang mahu berjaya sahaja yang mempunyai prinsip, bahkan kalau nak tahu, orang yang MALAS pun mempunyai prinsip mereka yang tersendiri. Antara prinsip mereka yang menyebabkan mereka sentiasa rugi adalah; malas untuk mengkaji dan mengaji. Prinsip yang terang-terang lagi mengundang kerugian. Inilah sebenarnya yang menjadi punca seseorang itu menjadi rugi. Mereka lebih senang membiarkan orang lain berhempas pulas mengkaji dan mengaji di samping tidak mahu terlibat sama bersusah-payah. Hasilnya, yang mengkaji dan mengaji mendapat untung, dan yang malas pula akhirnya terpaksa hidup bergantung kepada yang rajin. Yang mana satu antum nak pilih, nak jadi rajin  atau malas? Kuasa memilih di tangan antum...


Graf untuk orang yang malas, prestasi menurun, rugi!!!

   Realitinya yang kita boleh lihat dalam masyarakat kita ialah, kita masih lagi sangat bergantung kepada negara-negara luar. Kita bergantung kepada mereka hampir dalam segenap perkara sebagai contoh; tenaga pakar perubatan; barang-barang buatan luar negara seperti; kenderaan, pakaian, makanan, alat-alatan; termasuk juga tenaga kerja dalam sektor pembinaan dan pembangunan dan lain-lain lagi. Itulah realiti kita, masalah besar Umat Islam di negara ini. 


Salah Siapa??? 


   Bukan hendak menyalahkan realiti yang berlaku, jauh sekali menyalahkan negara-negara yang membekalkan keperluan tersebut, namun punca yang ana rasakan yang menjadi akar umbi kepada permasalahan ini adalah disebabkan masyarakat kita dan kita sendiri menghidap penyakit M yang sangat kronik, penyakit M merujuk kepada malas. Penyakit ini menular begitu pantas dan meresap kukuh dalam jiwa masyarakat kita. Ana tidak mengatakan masyarakat kita semuanya pemalas, tidak dinafikan ada yang sangat rajin dan bagus namun realitinya hampir-hampir kesemuanya memiliki penyakit ini. Wa iya dzubillah... (aku memohon perlindungan daripada Mu, Ya Allah...)


Penyakit MALAS 


   Malas solat, malas puasa, malas mengaji, malas mengkaji, malas membaca Al Quran dan buku-buku Ilmiah, malas berzikir, malas berfikir, malas menuntut ilmu, malas dalam segala-galanya punca masyarakat kita mundur dan terkebelakang daripada arus kemajuan. Masalah kita ialah kita malas dalam melakukan perkara yang positif, tetapi sangat 'rajin' dan 'berminat' dalam melakukan perkara yang negatif, sebagai contohnya; rajin buat maksiat, rajin menipu, rajin berhibur, rajin bergossip mengenai artis-artis, rajin rasuah, rajin berjudi, dan rajin sangat dalam membuat perkara yang Allah larang. Itulah yang berlaku dalam masyarakat kita. Betul, sakit mendengar, pedih untuk ditelan, perit untuk menerima, namun itulah kebenarannya...


Kata ahli bijak pandai Arab 

"Berkatalah demi kebenaran walaupun ianya pahit (menyakitkan)"
  
Campur Aduk


   Sekiranya antum peka dan prihatin dengan tulisan ana di atas, pasti antum akan mendapati dan perasan yang ana telah menggabungkan 2 perkataan yang berlawanan sifatnya, contohnya; malas solat dan rajin buat maksiat. Nah, punca kekalutan dan kelemahan dalam masyarakat kita ialah di situ, suka mencampurkan perkara positif dan negatif dalam amalan seharian. Begini, perkataan malas dan maksiat itu sifatnya negatif, manakala rajin dan solat itu sifatnya positif, pada logiknya dan asasnya perkara yang baik dan buruk itu tidak boleh sama sekali dicampur adukkan,  ianya tidak harmoni. Firman Allah perihal mereka yang mencampur adukkan antara amal baik dan buruk:




"Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir."


Surah Al Baqarah; Ayat 264

      Sebagai perumpamaannya, gelas yang kotor itu tidak layak mengisi air yang baik lagi bersih. Bersedekah (positif) tapi malangnya dalam masa yang sama ada riya' dan menunjuk-nunjuk (negatif), rugilah jawabnya. Jika kita mahu berjaya sewajarnya dan sepatutnya kita semua mengamalkan yang positif dan tinggalkan yang negatif, contohnya; rajin solat dan malas buat maksiat, bukan sebaliknya. Kesimpulannya, apa yang ana nak bawakan di sini ialah, pencampuran antara perkara yang baik dan buruk dalam amalan kita hanya mengundang kepada kerugian dan kerosakan kepada diri sendiri dan masyarakat. 


Pengalaman...


Majlis Kenduri Kahwin, hukumnya sunat tapi jangan campur aduk dengan yang haram...
    
  Pernah sekali ana menghadiri sebuah majlis perkahwinan bersama sahabat ana di kampungnya di Pahang. Sangat 'meriah' dan 'hingar bingar'. Sebagai seorang muslim pergi kenduri bukan sekadar memenuhi jemputan atau sekadar makan lepas itu balik, tidak. Bahkan semoleknya datanglah bersama doa kepada pasangan yang menikah agar diberkati ikatannya sehingga ke akhir hayat, itulah yang terbaik tambah pula kita semua akan berkahwin (harapan tinggi menggunung... hehe), Insya Allah. Nak dijadikan cerita, kata orang tua-tua, "menikah itu ibarat membina masjid" (baguslah tu), tapi perkara yang ana dan sahabat ana tak berapa 'seronok' dan setuju mengenai majlis kenduri tersebut adalah adanya karaoke (para penyanyinya terdiri daripada kaum kerabat famili dan tetamu jemputan). Ini berlaku di kampung, di bandar tak tahulah. Hmm, bina masjid (kahwin) bagus dah, tapi janganlah dicampurkan dengan perkara yang bathil (buruk)... Ubahlah budaya yang buruk, amalkan yang terbaik. Hilang selera makan kami...
    
Perjuangan


   Sebagai seorang muslim, seharusnya kita merasa simpati dan mencari solusi dalam menyelesaikan masalah yang berlaku dalam kalangan umat Islam di dunia amnya dan khususnya umat Islam di negara ini. Jangan sesekali pernah berputus asa dalam perjuangan mengangkat kemulian Islam dan Ummah kerana pertolongan Allah sentiasa buat mereka yang sabar dalam perjuangan dan buat mereka yang tidak pernah mengenal erti putus asa. Pejuang kebenaran bukanlah mereka yang hanya setakat tawakkal bulat-bulat, bahkan mereka yang menyusun strategi, berusaha dengan gigih semampu mungkin, berikhtiar seikhlas hati dan akhirnya bertawakkal menyerahkan sepenuhnya kepada ketentuan Allah. Kemenangan dalam perjuangan adalah untuk mereka yang sentiasa berusaha dan mencari jalan keluar daripada permasalahan yang timbul.     


Sampai Bila lagi?


    Sebagai konklusinya pada kali ini, sampai bila lagi kita mahu hidup dalam keadaan yang gelap ini? Lakukanlah reformasi dalam diri kita terlebih dahulu, dan yang lain (orang sekeliling kita) pasti akan mengikut. Hapuskanlah sikap malas dan suka berhibur secara berlebihan (hedonism) yang ada dalam diri kita. Cakna (ambil tahu) hal ehwal kehidupan Umat Islam di sekeliling kita dan di seluruh dunia kerana kita adalah bersaudara takkan terputus walaupun dicincang. Sebagai seorang muslim tunjukkanlah akhlak kita yang terpuji sebagaimana yang telah diajar dan dianjurkan oleh junjungan besar kita Rasulullah s.a.w. 


    Perkasakanlah diri kita dengan taqwa, iman, ilmu (dunia dan akhirat) dan amal (praktik), 4 formula asas ini adalah sangat penting dalam membangunkan Ummah yang sedang menghadapi tempoh kritikal ini dan telah terbukti keberkesanannya pada zaman kegemilangan Islam suatu ketika dulu. Akhir kalam, marilah kita bersatu menentang kebathilan (keburukan) yang bersarang dalam diri kita dan hapuskannya, jika kita berjaya melakukannya, nescaya sekeliling kita tidak akan ada lagi kebathilan dan kemungkaran yang berlaku, insya Allah taala.


Sekian saja penulisan ana buat kali ini. Insya Allah jika ada kesempatan lagi ana akan teruskan menulis. Mohon maaf sekiranya ada yang ana sentuh dalam penulisan ini mengguris hati antum. Sama-samalah kita berubah kepada yang lebih baik dan menjadi lebih baik daripada hari semalam, insya Allah...

1 comment:

  1. suka sgt blog nii....
    pemangkin semangat utk terus berjuang

    ReplyDelete